Thursday, September 13, 2012

Biodata Tun Abdul Razak

Assalamualaikum.



Tun Haji Abdul Razak bin Haji Dato’ Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (NEP) (1971) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai “Bapa Pembangunan”.

Perjalanan Hidup
  • 1922: Dilahirkan di Pekan, Pahang pada 11 Mac.
  • 1934 (umur 12): Melanjutkan pengajian ke peringkat menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
  • 1947 (umur 25): Mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di England.
  • 1950 (umur 28): Menerima ijazah undang-undang dari Lincoln’s Inn. Sekembali ke tanah air, beliau menyertai Perkhidmatan Awam dan juga dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno.
  • 1951 (umur 29): Dilantik menjadi Timbalan Presiden Umno.
  • 1952 (umur 30): Dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
  • 1955 (umur 33): Menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda. Bila Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada tahun ini, beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama Tunku Abdul Rahman.
  • 1956 (umur 34): Berada di London sekali lagi bersama Tunku Abdul Rahman, kali ini sebagai anggota rombongan Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada Britain.
  • 1957 (umur 35): Selepas kemerdekaan dicapai, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar.
  • 1969 (umur 47): Selepas perselisihan kaum tercetus di Kuala Lumpur selepas pilihan raya tahun, keadaan darurat telah diisytiharkan dan sebuah badan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan, dengan Abdul Razak sebagai ketuanya.
  • 1970 (umur 48): Menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua pada September, selepas Tunku meletakkan jawatan dari kerajaan dan Parti Perikatan. Beliau memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada pertengahan tahun untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama.
  • 1972 (umur 50): Menjemput Dr Mahathir Mohamad, yang tersingkir pada 1969, kembali ke pangkuan Umno.
  • 1976 (umur 54): Meninggal dunia akibat leukemia di London pada Januari. Dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

No comments: